MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Keningau

Lelaki tujuh anak rayu bantuan bina rumah baru

KEADAAN rumah Tujuh Liwan yang kelihatan sangat uzur tetapi terus didiami oleh lelaki tersebut bersama isteri dan tujuh anak mereka di Kampung Bonor, Keningau.


KENINGAU 12 Ogos - Seorang penduduk di Kampung Bonor dekat sini, Tujuh Liwan, 49, hanya rakyat biasa yang mempunyai tujuh anak dan berteduh di sebuah rumah uzur yang hanya menunggu masa sahaja untuk rebah menyembah bumi.

Dia telah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan sebuah rumah melalui Program Bantuan Rumah (PBR) sejak 2009, tetapi malangnya semua permohonan itu seolah-olah dipandang sepi agensi terbabit.

Apa yang menyedihkan, terdapat individu lain yang membuat permohonan sama selepasnya telah mendapat rumah PBR itu walaupun mereka lebih berkemampuan, malah ada yang mempunyai kereta.

Tujuh berkata, dia telah mengemukakan permohonan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bonor sejak 2009 namun sehingga kini belum ada tindakan diambil.

"Saya amat kesal kerana permohonan saya tidak diambil tindakan walaupun perkara ini sering dirujuk oleh Pengerusi JKKK kami di pejabat-pejabat yang berkenaan.

"Walaupun mempunyai pendapatan hasil usaha sendiri tetapi ia hanya cukup untuk menampung keperluan harian keluarga kerana ketujuh-tujuh anak kami masih dalam tanggungan," katanya yang berkongsi hidup dengan isteri, Rahana Barisan, 43.

Sementara itu, Pengerusi JKKK kampung itu, Ampalit Angimun berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan pada 2009 dan telah merujuknya beberapa kali di Pejabat Daerah Kecil Sook.

"Malah, baru-baru ini saya telah merujuk kepada pegawai yang berkenaan dan mendapat penjelasan permohonannya belum mendapat jawapan pihak atasan di Kota Kinabalu.

"Sebagai Pengerusi JKKK, saya merayu permohonannya diluluskan dengan segera kerana dia memang layak jika dibandingkan dengan pemohon-pemohon lain yang sudah mendapatnya," kata Ampalit.

Tambah beliau, sehingga kini belum ada keluarga yang mendapat bantuan rumah PBR di kampung itu walaupun layak mendapatnya.

Oleh itu, beliau meminta pihak berkenaan membuat penelitian agar memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar layak dan sangat memerlukan bantuan itu.

 

 

 

 

 - Sumber utusan malaysia.