MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Sandakan

Sabah terus bina PPR - Musa Aman

Musa Aman (dua dari kiri) diiringi Zakaria Mohd. Edris (kiri) meninjau perumahan PPR Rancangan Sungai Manila di Batu 12, Jalan Labuk, Sandakan, kelmarin.


SANDAKAN 17 Mei - Kerajaan akan membina lebih banyak Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini untuk memastikan golongan sasar mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dengan segala perancangan apatah lagi ia melibatkan keperluan rakyat yang ingin memiliki rumah mampu milik demi menikmati kehidupan lebih selesa.

Beliau berkata, melalui projek PPR yang diperkenalkan ia telah memberikan banyak manfaat terutama kepada masyarakat yang tidak bernasib baik atau mangsa-mangsa kebakaran yang memerlukan pembelaan segera.

“Kerajaan akan mengutamakan mereka yang benar-benar layak untuk dibantu kerana menjadi dasar dan perjuangan BN sentiasa membantu rakyat sejajar dengan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Ini kerana menjadi dasar dan perjuangan BN untuk membantu rakyat dalam apa jua perkara. Maka sebab itulah, program-program perumahan mampu milik ini diperbanyakkan kerana kerajaan mahu rakyat terus menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri menyatakan demikian semasa ditemui pemberita selepas meninjau perumahan PPR Rancangan Sungai Manila di Batu 12, Jalan Labuk, dekat sini semalam.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd. Edris dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong telah diberikan taklimat ringkas oleh pihak kontraktor mengenai perumahan PPR sebanyak 1,000 unit yang sudah siap sepenuhnya itu.

Sejurus selepas itu, Musa turut meninjau pembinaan sebuah Kompleks Sukan Komuniti Libaran yang bernilai kira-kira RM3 juta.

Kompleks yang dibina di atas tapak seluas 1.6 hektar itu menyediakan pelbagai jenis sukan yang boleh dimanfaatkan antaranya futsal, badminton, sepaktakraw, bola keranjang dan bola jaring.

 

 

  -   Sumber utusan malaysia.