MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Sipitang

Projek Ammonia Urea Sabah bawa rahmat

SIPITANG 23 Feb. - Apa yang boleh disimpulkan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad mengenai Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) adalah sebagai pembawa rahmat besar buat pembangunan di daerah tersebut.

Bagi pemimpin No. 1 di daerah tersebut, Samur diibaratkan sebagai limpahan rezeki khususnya buat penduduk Sipitang dan daerah berdekatan seperti Tenom dan Beaufort.

Katanya, ia bukan sahaja bakal meletakkan Sipitang di persada dunia sebagai pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara, projek yang dijangka beroperasi pada 2015 itu juga bakal memberi manfaat besar kepada pembangunan Sabah.

Sambil menyatakan rasa bangga dan gembira kerana Sipitang dipilih sebagai lokasi projek itu, Sapawi mengakui, ia membawa impak besar lagi bermakna kepada daerah itu dan rakyat setempat.

"Bagi saya, projek Samur ini membuka lembaran baharu bagi Sipitang dan negeri Sabah, ia diyakini mampu menjana pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang," katanya mengulas pelaksanaan projek Samur di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dengan pelaksanaan projek Samur itu, banyak peluang ekonomi sampingan akan berkembang di daerah itu dan ia bakal mengubah suasana dan keadaan Sipitang.

Katanya, sebaik sahaja loji bertaraf dunia itu siap pada 2015, ia akan mempunyai kira-kira 400 pekerja tetap dan secara tidak langsung akan mewujudkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 peluang pekerjaan.

Jelasnya, projek Samur yang bernilai RM4.6 bilion itu merupakan projek usaha sama Petronas Chemical Group (PCG) mampu mengeluarkan sebanyak 1.2 juta tan metrik baja urea setahun.

"Projek Samur mampu mengubah wajah Sipitang dari sebuah pekan kecil kepada sebuah bandar tumpuan, seiring dengan pembangunan yang dinikmati Sabah semenjak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Terima kasih kepada pimpinan di peringkat kerajaan Pusat di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga pimpinan negeri yang didokong Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di atas usaha serta inisiatif membawa pembangunan untuk Sipitang," katanya.

Sapawi menegaskan, pelaksanaan projek itu adalah perancangan strategik dan berwawasan pimpinan negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam pada itu, katanya, kunjungan Perdana Menteri pada majlis pecah tanah projek Samur adalah kali kedua dalam tempoh lapan bulan, selepas kunjungan pada Jun tahun lalu bagi menyempurnakan perasmian Festival Gata dan perasmian Esplanad Sipitang, merupakan keprihatinan pemimpin utama itu kepada rakyat Sipitang.

"Mewakili rakyat Sipitang, saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya atas keprihatinan pimpinan BN yang membawa projek-projek pembangunan di daerah ini," katanya.  -   Sumber utusan malaysia.