MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Ilham kreatif rumah terbalik

 

Sesiapa yang melalui Batu 21 Jalan Berungis -Tamparuli di Sabah, sudah pasti tidak terlepas pandang akan keunikan sebuah rumah dengan reka bentuk tempatan masyarakat Kota Belud - iaitu rumah terbalik pertama di Malaysia.

Rumah seluas 1,500 kaki persegi itu seperti kediaman biasa, dilengkapi dua bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang makan, satu beranda, ruang dapur dan tandas. Bezanya semua itu dibina terbalik iaitu dengan keadaan bumbung di bawah dan lantai di atas.

Pengalaman memasuki rumah berkenaan yang turut senget sebanyak tiga darjah pastinya amat berbeza kerana ia akan mencabar logik minda setiap pengunjung.

Pening! Itu pastinya jawapan mudah pengunjung selepas memasuki Rumah Terbalik di laluan utama ke Kundasang dan Ranau itu yang dibuka setiap hari kepada pengunjung dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Sebaik sahaja meletakkan kenderaan di kawasan rumah berkenaan, pengunjung pastinya tertarik dengan sebuah garaj kereta yang menempatkan sebuah kereta Kancil dalam keadaan terbalik.

Pengunjung akan bertambah pening sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang tamu rumah berkenaan kerana segala peralatan seperti kerusi sofa, baju sidaian dan sebagainya berada dalam keadaan terbalik.

Peralatan lain termasuk almari, lubang tandas, dapur dan rak buku melekat di siling manakala lampu dan kipas yang biasanya berada di siling pula ada di kaki anda. Semuanya betul, bukan replika.

Pemilik rumah berkenaan, Alexander Yee, 43, sendiri mengakui kerja-kerja pembinaan rumah itu cukup mencabar.

Pening

"Ini kerana semuanya perlu dibina dan dipasang dalam keadaan terbalik. Kerap kali pekerja terpaksa berhenti dan tidak dapat melakukan kerja secara berterusan kerana pening," katanya.

Menurut anak jati Penampang ini, idea untuk membina rumah berkenaan adalah hasil kajian dan penglibatannya dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

"Ia sebenarnya memberi mesej kepada orang ramai supaya menjaga alam sekitar kerana tanpa penjagaan berterusan, kehidupan kita akan tunggang terbalik.

"Pemilihan rumah kampung ini adalah satu simbolik kerana ia warisan berharga kita yang perlu dijaga agar berada dalam keadaan sempurna," katanya.

Tambahnya, pembinaan rumah berkenaan menjadi tarikan pelancong kerana menampilkan kelainan di Sabah yang memang sudah terkenal dengan flora dan faunanya.

Pembinaan rumah istimewa ini mengambil masa kira-kira lima bulan manakala 11 bulan lagi untuk membina restoran, kedai cenderamata dan pelbagai kemudahan lain yang keseluruhannya menelan kos kira-kira RM1.2 juta. Ia mula dibuka kepada umum pada 1 Januari lalu.

"Pada awalnya, saya membawa pelan ini kepada arkitek. Mereka ingatkan paparan pelan saya terbalik dan mereka terkejut apabila saya nyatakan ia memang sebuah rumah terbalik," katanya.

Sementara itu Pengurus Operasi Rumah Terbalik, Kenny Anthonio berkata, pengunjung bukan sahaja dapat melihat keunikan rumah tersebut bahkan didedahkan oleh petugas mengenai keunikan budaya masyarakat Sabah.

"Semua pengunjung dikehendaki memukul gong sebelum memasuki rumah dan memberi salam yang menjadi budaya masyarakat di negeri ini," katanya.

Tiket masuk yang dikenakan kepada pengunjung RM18 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak manakala individu yang menunjukkan MyKad hanya dikenakan bayaran RM10 bagi dewasa.

Sesiapa yang berminat dan ingin membuat tempahan dan mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi talian 088-783911 atau melalui facebook: rumah terbalik.

sumber:utusan.com.my