MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Sabah guna teg satelit jejaki 2 buaya jantan

KINABATANGAN -  Jabatan Hidupan Liar Sabah merancang untuk memasang teg yang dijejaki menerusi satelit pada buaya jantan terpilih di 10 sungai utama di Sabah, dalam usaha berterusan menangani konflik buaya-manusia.

Sehingga kini, jabatan itu menerusi Unit Menyelamat Hidupan Liar dan Danau Girang Field Centre (GDFC) telah mengenakan teg tersebut pada dua ekor buaya di Sungai Kinabatangan, dengan yang terbaharu pada buaya air masin sepanjang 3.6 meter bernama Lais pada 7 Januari lalu.

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata memandangkan konflik lazimnya membabitkan buaya jantan yang besar, kaedah itu membolehkan pergerakan buaya dikesan bagi tempoh jangka panjang mengikut musim.

Sekali gus ini akan membantu menjawab persoalan bagaimana faktor kekurangan makanan menyebabkan buaya terbabit menganggap manusia adalah sumber makanannya, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Kami juga akan melakukan pemantauan dan mengumpul sampel genetik bagi mengenal pasti aliran gen di antara sungai-sungai di Sabah, selain semen daripada buaya yang ditangkap bagi mendapat gambaran tahap kesuburan dalam populasi," katanya.

Goossens yang juga ketua Program Buaya Kinabatangan berkata 10 sungai terbabit ialah Klias, Padas, Paitan, Sugud, Labuk, Kinabatangan, Segama, Kalumpang, Kalabakan dan Serudong.

Penumpuan diberikan kepada dua sungai yang mempunyai perbezaan ketara dalam bentuk kehadiran manusia iaitu Sungai Kinabatangan dan Paitan.Projek teg satelit itu katanya dibiayai oleh Chester Zoo di Chestershire, United Kingdom dan DGFC. Sumber- Sinar Harian