MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Sistem Satelit Bantu Pantau Penghijrahan Gajah Pigmy Borneo

SANDAKAN, 12 Mac (Bernama) -- Seekor gajah pigmy Borneo betina yang dipasang kolar satelit baru-baru ini diharapkan boleh memberi petunjuk dalam usaha mengenal pasti koridor utama penghijrahan haiwan itu di kawasan hutan yang terpisah akibat pembangunan, termasuk pembinaan Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Kolar yang dipasang pada haiwan setinggi 1.9 meter yang ditangkap di Hutan Simpan Segaliud Lokan itu, dijangka menghantar data tentang kemungkinan penghijrahan kumpulan gajah berkenaan hingga ke Hutan Simpan Pin Supu atau dari wilayah Hilir Kinabatangan ke Segaliud Lokan.

Ketua Pemuliharaan dan Penyelidikan Amanah Pemuliharaan Borneo (BCT) Raymond Alfred berkata kumpulan antara 290 dan 310 gajah yang mendiami kawasan Kinabatangan itu kini terpisah daripada kumpulan utamanya di bahagian tengah Sabah, termasuk Hutan Simpan Segaliud Lokan, oleh jalan raya berkenaan.

Alfred berkata masalah pemisahan habitat itu boleh diselesaikan melalui penyediaan rangkaian koridor hidupan liar yang menghubungkan kawasan hutan simpan.

"Kegiatan pemasangan kolar ini adalah antara komponen Program Koridor Biodiversiti Mega yang diperkenalkan BCT untuk meningkatkan kadar penyambungan hutan dan koridor ekologi di kawasan habitat utama gajah pigmy Borneo dan Orang Utan di Sabah.

"Kewujudan Koridor Biodiversiti Mega akan membolehkan gajah ini serta Orang Utan berhijrah dengan selamat, mendapat sumber makanan dan menjalin hubungan genetik sesamanya," kata Alfred dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan BCT dan Jabatan Hidupan Liar Sabah di sini, hari ini.

Gajah berkenaan yang diberi nama "Segaliud", berusia antara 25 hingga 35 tahun. Haiwan ini didapati sihat dan mempunyai seekor anak yang masih menyusu berusia lima atau enam bulan.

Kegiatan pemasangan kolar ini dilaksanakan untuk julung kalinya oleh BCT dan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Sabah, dengan kerjasama KTS Plantation Sdn Bhd.

Alfred berkata satu langkah jangka panjang perlu dilaksanakan untuk menangani isu pemisahan hutan.

"Antara langkahnya ialah pembelian, pemuliharaan dan pemulihan kawasan simpan riparian (di tebing sungai) untuk mewujudkan semula koridor hidupan liar bagi menghubungkan habitat utama dengan kawasan perlindungan," kata Alfred.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Laurentius Ambu berkata jabatan itu bekerjasama dengan BCT dan rakannya daripada sektor swasta untuk menambah dan mengekalkan koridor penting untuk gajah.

"Koridor hidupan liar boleh menjadi penyelesaian jangka panjang terbaik bagi masalah yang dihadapi gajah Borneo yang terancam," kata Ambu.

Berdasarkan Pelan Tindakan Gajah yang dikeluarkan jabatan itu baru-baru ini, terdapat kira-kira 2,040 gajah di Sabah ketika ini. Sumber- Bernama