MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Terokai budaya sebenar Sabah

 

Biarpun suku kaum Kadazandusun merupakan suku kaum dominan di Sabah yang kebanyakannya tinggal di Ranau, Keningau, Tambunan, Kundasang, Inanam, Tuaran, Kuala Penyu, Kota Marudu dan Kudat, banyak lagi suku kaum lain yang mewarnai Sabah, sekali gus melahirkan budaya yang unik untuk dihayati bersama.

Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat mengenai kebudayaan yang terdapat di Sabah, anda tidak perlu berjalan ke seluruh negeri tersebut.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah luahkan masa ke Kampung Budaya Mari-Mari yang terletak di Inanam.

Kampung Budaya Mari-Mari menghimpunkan pelbagai khazanah kebudayaan yang terdapat di Sabah dalam satu kawasan.

Walaupun ia kelihatan seperti sebuah muzium, ia hidup dengan kemeriahan pelbagai aktiviti yang mengagumkan termasuk pameran suku-suku etnik Sabah.

Pengembaraan kebudayaan Borneo

Kampung Budaya Mari-Mari terletak kira-kira 25 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu dan sepanjang perjalanan ke sana, pengunjung berpeluang melihat pemandangan menarik dengan kehijauan gunung-ganang serta langit yang membiru.

Setibanya ke destinasi tersebut maka secara tidak langsung, pengembaraan kebudayaan telah pun bermula.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa untuk mengunjungi destinasi ini, pengunjung perlu menempah tiket masuk terlebih dahulu melalui syarikat-syarikat pelancongan atau ejen-ejen pelancongan yang sah.

Setelah mendaftar di kaunter hadapan, pengunjung akan dibawa melepasi sebuah jambatan gantung merentasi alur sungai yang pasti akan mengingatkan anda pada lagak pengembaraan lasak Indiana Jones.

Apabila tiba di penghujung jambatan, sebuah perkampungan akan kelihatan dan anda akan tiba ke sebuah rumah tradisional milik suku kaum Kadazandusun yang merupakan etnik utama di Sabah.

Rumah tersebut dibina sepenuhnya menggunakan buluh dan kayu.

Setiap pengunjung berpeluang merasai kehidupan seharian penghuni dalam rumah tersebut dan boleh berjalan di sekitar dan melihat kediaman unik itu.

Melihat bilik-bilik dan bagaimana mereka hidup dengan barang-barang etnik sebenar terletak di sekitar rumah.

Setelah puas melihat rumah tersebut, pengunjung akan dibawa keluar melalui pintu belakang dan dibawa melihat demonstrasi secara langsung bagaimana orang Kadazandusun memasak menggunakan dapur kayu arang.

Dengan hanya menggunakan sebatang buluh berongga saiz duit syiling 20 sen, makanan enak boleh disajikan setelah ia dibakar seperti lemang.

Antara demonstrasi lain yang boleh disaksikan di bahagian tersebut ialah seperti cara-cara menghasilkan tuak tradisional atau tapai, cara mendapatkan madu lebah dan cara menghidupkan api menggunakan keratan buluh yang telah dipotong halus.

Selepas itu, pengunjung akan dibawa melihat rumah tradisional yang mengagumkan.

Rumah tersebut yang dibina bersaiz panjang sering didiami oleh orang Kadazandusun yang cenderung untuk hidup dalam komuniti banyak keluarga di bawah satu bumbung.

Reka bentuk rumah tersebut ibarat rumah panjang milik suku kaum Iban di Sarawak.

Ketika memasuki rumah tersebut, pengunjung akan disajikan dengan alunan muzik tradisional yang dimainkan oleh penduduk tempatan.

Bergerak lebih jauh ke dalam kawasan perkampungan tersebut, pengunjung akan melihat kawasan perkampungan kaum ketiga terbesar di Sabah iaitu kaum Murut.

Suatu ketika dahulu, kaum Murut lebih dikenali sebagai Headhunters of Sabah dan menurut kepercayaan spiritual, seorang lelaki hanya boleh berkahwin selepas dia menyampaikan sekurang-kurangnya satu kepala bagi keluarga gadis idamannya.

Istimewanya di rumah panjang milik kaum Murut ini terdapatnya satu platform ampungan yang unik. Ia dibina di tengah-tengah rumah panjang sebagai lantai khas yang boleh melantun seperti spring untuk tujuaan tarian Lansaran.

Selain itu, pengunjung turut dibawa melawat ke sebuah banglo kayu yang dikenali sebagai rumah Bajau.

Menariknya, sebahagian besar rumah ini terutama bumbung dan dinding menggunakan daun nipah yang dianyam.

Di bahagian dalamnya pula, terdapatnya baju perkahwinan yang digunakan dalam majlis perkahwinan tradisional dengan pelbagai warna-warni.

Akhirnya, pengunjung akan dibawa menyaksikan pertunjukkan kebudayaan di mana persembahan tradisional etnik diadakan.

Pelbagai suku kaum akan mempamerkan tarian masing-masing kepada pelawat-pelawat dan jika anda membeli pakej lengkap, anda akan disajikan dengan hidangan makan tengah hari atau makan malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Kampung Budaya Mari-Mari, sila hubungi First Borneo Discovery Travel & Tours, (Yamin-0198728206) atau email kepada yamie1944@yahoo.com.my

sumber:utusan.com.my