MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

2 guru maut, bot karam di Kota Belud

Dua guru mati lemas dalam insiden bot karam yang dinaiki 10 individu ketika dalam perjalanan dari Kampung Rampayan Laut menuju Pulau Mantanani, petang tadi.

Jurucakap Balai Bomba Kota Belud berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mantanani, Limun Gamburud dan seorang lagi guru sekolah itu, Kamariah Hamdan.
 
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sementara lapan lagi sedang dirawat di Hospital Kota Belud,” katanya kepada Bernama.
 
Balai Bomba Kota Belud menerima maklumat pada jam 3.45 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 25 minit kemudian.
 
Operasi menyelamat tamat pada jam 7.25 malam.
 
Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Mohd Mustazar Bundah yang merupakan saudara Kamariah terkejut dengan kejadian itu.
 
Beliau berkata, saudaranya itu baharu ditukarkan ke sekolah berkenaan dari Sekolah Kebangsaan Nahaba.
 
“Kali terakhir saya berkesempatan bertanya mengenai suasana mengajar di sana (SK Mantanani). Menurut beliau, setiap tempat dan sekolah ada cabaran dan dugaan kepada seorang guru,” katanya.
 
Kamariah meninggalkan empat anak, iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

- freemalaysiatoday