MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Cubaan seludup syabu RM3.5 juta gagal

Taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘usahawan teh’ untuk menyeludup syabu ke negeri ini gagal apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, suspek baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur bersama sebuah kotak yang didakwa mengandu­ngi teh, namun mesin pengimbas mengesan kewujudan bahan yang mencurigakan di dalamnya.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) nege­ri, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, pegawainya segera me­lakukan pemeriksaan terhadap kotak tersebut dan menemukan beberapa peket syabu seberat 6.23 kilogram bernilai RM3.5 juta.

“Kesemua peket syabu tersebut dicampurkan bersama peket-peket teh bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rampasan terbaharu itu merupakan yang kedua dalam tempoh seminggu. Pada 19 Mei, seorang lelaki diberkas di lokasi sama ketika cuba menyeludup masuk syabu bernilai RM500,000 ke negeri ini.

Menurut Janathan, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada ke­dua-dua kes berkenaan mempu­nyai kaitan dan tidak menolak kemungkinan KKIA hanya dijadikan transit.

“Kami akan pastikan siasatan yang dilakukan dapat mengenal pasti modus operandi setiap suspek selain mengesan pihak lain yang terlibat,” katanya.

 

Sumber:Utusan malaysia