MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Kes Jabatan Air Sabah: 200 saksi akan dipanggil

Kira-kira 200 saksi dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas pengarah Jabatan Air Sabah dan 2 yang lain di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.48 juta.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Husmaruddin Hussin memberitahu Hakim Abu Bakar Manat pada prosiding hari ini, terdapat kemungkinan tidak semua saksi dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen berkaitan dalam bentuk cakera padat (CD) dan menjemput peguam bela tertuduh untuk hadir ke pejabat SPRM Sabah sekiranya mereka mahu memeriksa dokumen asal.

Peguam PJ Pereira dan Baldev Singh membuat permohonan untuk meneliti dokumen berkenaan di pejabat SPRM, 2 bulan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bermula 4 Julai hingga 28 Julai dan 8 Ogos hingga 25 Ogos.

Abu Bakar berkata, sebarang perubahan tarikh perbicaraan boleh dibuat pada hari terakhir pengurusan kes, iaitu 4 Mei, susulan permohonan pihak pembelaan untuk meneliti dokumen sebenar 2 bulan sebelum tarikh perbicaraan.

Pada 29 Disember tahun lepas, bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah terhadap 8 tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam 4 akaun bank, 2 tuduhan memiliki secara salah 6 kenderaan mewah dan 1 tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, terhadap 2 tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah berdepan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah Lim Lam Beng, 62, yang digantung tugas, menghadapi 1 tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan 3 tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman sehingga 5 tahun penjara atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili Pereira dan Hairul Vaiyron Othman, manakala Baldev dan Karpaljit Singh mewakili Lim.

- freemalaysiatoday