MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Penuntut cedera bas terbalik

Sebelas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) cedera dan dikejarkan ke hospital apabila bas ekspress dinaiki terbalik ketika menuruni bukit berhampiran simpang masuk pusat pentadbiran, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, 23 penuntut lain turut mendapat rawatan luar di klinik Warga UMS dan kini dilaporkan stabil selepas cedera ringan.

Difahamkan kumpulan penuntut itu menaiki bas yang disewa khas untuk mengambil mereka di fakulti pengajian masing-masing sebaik tamat sesi kuliah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian bas yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu hilang kawalan sebaik menuruni bukit sebelum terbabas dan terbalik berhampiran simpang masuk pusat pentadbiran pengajian berkenaan.

"Akibat kemalangan itu 11 penuntut dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II manakala 23 pelajar lagi menerima rawatan sakit luar di klinik Warga UMS.

"Pemandu bas turut cedera di siku kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kegagalan fungsi brek bas berkenaan dan polis masih mengenal pasti tahap kecederaan 11 penuntut yang dikejarkan ke HQE II dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

 

Sumber:mymetro