MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Pokok tropika tertinggi di dunia ditemui di Sabah

Sepasukan pengkaji dari University of Cambridge percaya mereka menemui pokok hutan hujan tropika yang tertinggi di dunia di Lembangan Maliau Basin, sebuah kawasan konservasi hutan berkeluasan hampir 600 km persegi di Sabah.

Jurnal New Scientist melaporkan pokok Meranti Kuning itu, atau nama saintifiknya shorea faguetiana, berukuran 89.5 meter tinggi, hampir sama tinggi dengan menara jam Big Ben di London.
 
Ketinggian itu juga memecah rekod sebelum ini bagi kategori pokok tropika.
 
Bagaimanapun, pokok tertinggi di dunia berukuran 115 meter adalah di Taman Negara Redwood, California, di mana pokok di kawasan ini kebiasannya mencecah 30 meter lebih tinggi daripada pokok tropika.
 
Pokok di Sabah itu dikesan pengimbas laser yang dipasang pada pesawat dinaiki pengkaji David Coomes dan rakan-rakannya, ketika mereka menjalankan penggambaran 3D bagi pemetaan biodversiti kawasan Maliau Basin.
 
New Scientist melaporkan seorang pendaki pokok tempatan ditugaskan naik sehingga ke puncak pokok itu dengan membawa pita pengukur. Beliau kemudian menghantar pesanan ringkas telefon bimbit kepada pasukan Coomes:
 
“Saya tidak sempat mengambil gambar dengan camera yang bagus kerana seekor burung helang sedang cuma menyerang saya, dan juga banyak lebah berterbangan”.
 
Pokok Meranti Kuning semakin pupus disebabkan aktiviti pembalakan oleh pengusaha minyak sawit, kata jurnal itu.
“Pembalakan merupakan masalah besar di Malaysia, di mana hutan Malaysia menerima kesannya selama 40 tahun,” kata Coomes.
 
Kerajaan Sabah baru-baru ini mengumumkan pemulihan sebuah kawasan hutang yang ditebang, yang terletak di bahagian timur di mana pokok tertinggi itu ditemui.
 
Coomes berkata sesebuah hutan boleh dipulihkan dalam tempoh 50 hingga 100 tahun.

- freemalaysiatoday