MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Ahli politik Sabah dan Sarawak bimbang seminar anti Kristian UiTM

Pemimpin politik Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian bimbang bagaimana sebuah institusi pengajian tinggi kerajaan boleh dibenarkan mengadakan seminar anti Kristian walaupun kemarahan orang ramai terhadap seminar sama tahun lepas masih belum reda.

Wakil rakyat Sabah Datuk Jeffrey Kitingan percaya, seminar terbaru anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu adalah "sebahagian pelan induk Islamisasi" dengan matlamat akhirnya menukar kepercayaan agama rakyat Sabah dan Sarawak.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor itu berkata, persetujuan berterusan kepada seminar itu yang diberikan pihak berkuasa, kewujudan pusat dakwah di Sabah dan penempatan guru Islam di sekolah luar bandar di Borneo yang majoritinya Kristian, "semua menunjukkan ke arah objektif itu".
 
"Ini sebahagian rancangan Islamisasi bagi menggalakkan Islam dengan melabelkan agama lain sebagai ancaman.
 
"Matlamat mereka adalah untuk akhirnya mengubah demografi agama di Sabah dan Sarawak, di mana majoriti rakyatnya beragama Kristian," kata Kitingan.
 
Kitingan, yang juga pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) berkata, "pelan Islamisasi bermotifkan politik" itu boleh membawa kepada ekstremisme agama "yang akhirnya menghancurkan negara".
 
Seminar "Ancaman gerakan pemurtadan Kristianisasi" itu diadakan di kampus UiTM Lendu, Melaka, Sabtu lalu, di mana salah seorang daripada pembentangnya ialah pegawai polis.
 
Tahun lepas, UiTM Shah Alam dikritik kerana mengadakan satu seminar di mana peserta diberitahu, pendakwah Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk memurtadkan umat Islam.
 
Insiden terbaru ini mendorong seorang peguam menggesa Putrajaya membuka semula siasatan terhadap UiTM kerana mengadakan seminar pertama di Shah Alam itu yang mencemuh agama Kristian.
 
Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sepatutnya tidak membenarkan universiti mengadakan seminar itu di kampusnya, yang juga mempunyai pelajar bumiputera bukan Islam, kerana "ia sama sekali salah".
 
"Ia tidak wajar bagi sebuah negara yang mengaku mempunyai toleransi terhadap pelbagai agama di negara ini."
 
Masing berkata, sebarang jenis penghentaman terhadap agama tidak boleh dibenarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi milik kerajaan.
 
"Bagi saya, memperkecilkan mana-mana agama adalah salah.
 
"Kita tidak boleh menarik orang lain kepada agama kita dengan menghentam agama mereka. Begitu juga, umat Islam tidak akan menunjukkan kebaikan Islam dengan menghentam agama lain.
 
"Sebaliknya kita perlu menunjukkan apa yang baik tentang agama kita dan jika orang fikir ia baik, mereka mungkin akan tertarik.
 
"Di negara ini di mana terdapat kebebasan beragama, kita tidak boleh dan tidak sepatutnya menghentam dan bercakap perkara yang buruk tentang agama orang lain.
 
Wakil rakyat pembangkang Sarawak Ali Biju berkata, sesuatu yang sangat membimbangkan apabila seminar itu diadakan di sebuah institusi pengajian tinggi awam.
 
Lebih-lebih lagi, katanya, wang rakyat pembayar cukai nampaknya turut digunakan.
 
Naib Presiden PKR dan Adun Krian itu berkata, rakyat Sarawak pasti tidak bersetuju dengan seminar seperti itu.
 
Ali berkata, di Sarawak, di mana menjadi perkara biasa beberapa kepercayaan agama diamalkan dalam sebuah keluarga, penduduk akan merasa tersinggung jika seseorang datang dan berkata, orang Kristian merupakan satu ancaman.
 
Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Hermen Shastri berkata semalam, mengecewakan apabila pihak berkuasa memberi kebenaran kepada seminar itu, sambil menambah, jelas yang program itu menjurus kepada melaga-lagakan antara berlainan agama.
 
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan penglibatan polis dalam seminar itu, mengatakan tiada apa yang salah dengan kehadiran polis itu.
 
UiTM pada Mei tahun lalu menganjurkan seminar mengenai penggunaan perkataan "Allah" dan Kristologi, yang menampilkan penceramah dari Indonesia, di mana penonton diberitahu, paderi Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk memurtadkan umat Islam.
 
Beberapa laporan polis dibuat terhadap pihak penganjur tetapi tiada siapa didakwa setakat ini, walaupun fail kes itu masih terbuka.
 
- the malaysian insider