MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Feri karam: Kenapa boleh bergerak waktu perintah berkurung Esscom?

Sebuah feri milik swasta, MB Juhairi, yang membawa 158 penumpang dan kru feri karam selepas terlanggar sebuah tongkang di kawasan satu kilometer dari pesisir pantai Semporna kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Balai Bomba Semporna, Fazizul Hizham Borhan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.56 malam ini.
 
Katanya, feri tersebut yang dalam perjalanan dari Bungao, Tawi-Tawi, Filipina ke Semporna, Sabah, itu dilaporkan karam di bahagian belakang.
 
"Semua penumpang selamat kecuali 17 orang terdiri dari 12 warga Filipina dan lima rakyat Malaysia yang mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Tambah Fazizul Hizham, bomba dan agensi keselamatan lain termasuk polis marin membuat rondaan di sekitar kawasan insiden itu bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
 
Persoalan yang timbul, bagaimana feri boleh bergerak pada waktu malam sedangkan pihak kerajaan melalui agensinya, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah telah lama mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi?
 
Kejadian berlaku dalam kawasan yang dibawah seliaan Esscom dan sebarang perjalanan feri atau lain-lain pengangkutan air yang telah dimaklumkan tidak dibenarkan belayar pada waktu perintah berkurung.
 
Bukan hendak menuding jari mencari kesalahan sesiapa tetapi di manakah kesungguhan perintah berkurung yang disarankan sekiranya masih terdapat feri yang bolos yang membawa penumpang, kebanyakannya adalah warga Filipina.
 
Kerajaan telah membelanjakan jumlah yang sangat besar untuk mengawal perairan Sabah termasuk Semporna bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini selepas insiden Lahad Datu yang mengorbankan lebih 100 nyawa.
 
Pun demikian, masih juga berlaku beberapa kejadian culik sehingga mengorbankan seorang rakyat Malaysia yang mati dipancung di Filipina.
 
Apabila berlakunya kejadian feri karam malam tadi di kawasan kawalan Esscom, maka wajarlah jika rakyat bertanyakan tentang perintah berkurung yang dikuatkuasakan.
 
Soal berlanggar dengan tongkang bukan isu besar tetapi bagaimana larangan perintah berkurung boleh terlepas daripada pandangan pihak Esscom?
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassin yang menjaga portfolio Esscom dalam satu kenyataan di laman Facebook yang mencadangkan Esscom ditutup kerana tidak berfungsi berkata, semua penumpang selamat dan dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dua bot polis marin telah memberi bantuan menyelamatkan semua penumpang.
 
Katanya, perintah berkurung Esscom bermula dari pukul 7 petang hingga 5 pagi setiap hari.
 
Kenyataan Shahidan lebih menceritakan bagaimana kejadian boleh berlaku dan usaha menyelamat yang dilakukan oleh Esscom.
 
Sepatutnya, Shahidan memberi penekanan kenapa masih ada lagi feri yang bergerak malam ketika perintah berkurung sedang dikuatkuasakan.
 
Seandainya ada ketegasan dalam pelaksanaan perintah berkurung, kejadian feri karam malam tadi tidak akan berlaku.
 
- malaysiagazette