MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Jangan perlekeh parti Shafie Apdal

Tergugat atau tidak kedudukan Barisan Nasional (BN) di Sabah, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka akan melancarkan parti pimpinannya awal Oktober depan di Kota Kinabalu.

Mohd Shafie difahamkan bakal menjenamakan semula sebuah parti lama yang tidak begitu aktif di Sabah yang akan diumumkan akhir bulan ini.
 
Menurut sumber terdekat Mohd. Shafie, selain nama-nama besar di Sabah yang bakal menyertai parti baharu, semua parti pembangkang di negeri itu akan menjalin kerjasama bagi memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 hanya menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
 
Lebih 20,000 penyokong dijangka berada di tapak pelancaran parti baharu itu di Kota Kinabalu nanti.
 
"Lebih ramai lebih bagus tetapi untuk permulaan, kehadiran penyokong sebanyak itu sudah memadai dan apa yang penting, misi untuk menawan Sabah berjaya," katanya.
 
Menurutnya lagi, fokus parti baharu tersebut hanya untuk negeri Sabah sahaja dan tidak akan dikembangkan ke negeri-negeri lain sehingga selesai PRU14.
 
"Walaupun tidak melibatkan negeri lain, parti ini tetap akan bekerjasama dengan semua parti pembangkang di tanah air jika bertanding di Sabah selagi matlamat perjuangannya sama," katanya.
 
Mohd Shafie nekad keluar daripada UMNO apabila Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan menggantung keahliannya selepas didapati bersekongkol dengan parti pembangkang dalam usaha untuk menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.
 
Bagaimanapun, keputusan Mohd Shafie yang merupakan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dilihat oleh sesetengah pihak khususnya ahli UMNO sebagai pemimpin yang tidak akan mampu mempengaruhi rakyat.
 
Benar atau tidak pandangan tersebut, kepimpinan UMNO tidak boleh memperkecilkan keupayaan Mohd Shafie sebaliknya buatlah kerja lebih sedikit untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN sekaligus menolak parti Mohd Shafi.
 
Dalam erti kata lain, janganlah memperlekehkan parti Mohd Shafie kerana tidak mustahil 'saham' Mohd Shafie ketika menjadi Menteri KKLW telah merebak ke sereta tempat untuk menafikan keupayaan kepimpinan BN.
 
Berbanding rakan senasibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiap lawatan Mohd Shafie ke kawasan parti mendapat sambutan paling sedikit 5,000 orang di Sabah.
 
- malaysiagazette