MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Kit Siang terkejut dengan 'sejarah palsu' Salleh

Apa yang bermula sebagai perdebatan mengenai sama ada pembangkang dipimpin oleh "dua diktator" seperti yang didakwa oleh kerajaan kini mengheret kepada sejauh mana Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak memahami sejarah dunia.

Ini selepas Salleh dalam posting blog membekalkan "keterangan sejarah" bahawa boleh wujud dua diktator pada masa yang sama selepas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyatakan bahawa konsep itu tidak masuk akal.

Salleh, dalam tulisan di blog, memberi contoh Joseph Stalin dan Vladimir Lenin di Kesatuan Soviet dan Maximillian Robespierre dan Napoleon Bonaparte di Perancis sebagai contoh dua diktator yang wujud pada masa sama.

Selain itu, beliau menambah bahawa perkara berkenaan pernah berlaku di China, sementara Che Guevara "meninggalkan revolusi kerana beliau tidak mahu dianggap sebagai diktator” bersama dengan Fidel Castro.

Lim berkata, contoh yang disebutkan itu cukup mengejutkan mengenai "kejahilan standard pendidikan menteri di Malaysia" dan mencadangan mereka diberi "pendidikan semula".

“Tiga-perenggan blog Salleh tentang 'apa maknanya seorang diktator' penuh dengan sejarah palsu dan tidak benar dalam setiap perenggan, yang mungkin adalah latar belakang dan kelayakan yang tepat bagi seseorang yang mempengerusikan kempen propaganda serta pembohongan besar-besaran dan maklumat palsu terhadap lawan politik.

"Saya percaya bahawa majoriti 36 menteri tidak akan terkejut sama sekali atau tidak melihat alasan mengapa ada yang perlu terkejut. Ini adalah sebab mengapa semua menteri kabinet perlu menjalani program" pendidikan semula".

"Terdapat banyak aduan tentang kemerosotan mutu pendidikan hari ini berbanding dahulu, dan blog Salleh adalah bukti paling kukuh mengenai kejatuhan standard pendidikan di Malaysia sejak kebelakangan ini,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas apa yang didakwa Lim sebagai "sejarah palsu" Salleh, Lim berkata bahawa Stalin menjadi diktator Kesatuan Soviet dari 1929 hingga 1953 manakala Lenin meninggal dunia pada Januari 1924 setelah diserang angin ahmar pada bulan Mei 1922.

"Malah, Lenin semasa rawatannya mencadangkan supaya Stalin harus dikeluarkan daripada menjadi setiausaha agung Parti Komunis," katanya.

Mengenai sejarah Perancis Salleh, Lim berkata contoh Robespierre dan Napoleon sebagai diktator pada masa yang sama semasa Revolusi Perancis adalah "lebih jauh lebih menarik dan pelik".

"Robespierre menjadi ketua ‘Reign of Terror’ semasa Revolusi Perancis ketika Jacobins yang dipimpinnya menghukum bunuh ribuan orang dengan guillotine pada tahun 1793-1794, sehingga beliau sendiri dibunuh dengan cara yang sama pada 28 Julai 1794.

"Napoleon adalah seorang jeneral muda bersama Tentera Perancis pada tahun 1794. Dia dilantik sebagai Inspektor artileri Tentera Perancis di Alpen, dan tidak sehingga tahun 1799 Napoleon dilantik sebagai konsul pertama dalam rampasan kuasa itu yang kemudiannya menandakan kenaikan mendadaknya menjadi Maharaja Perancis - tetapi Napoleon tidak pernah menjadi 'diktator pada masa yang sama' dengan Robespierre," katanya.

Lim juga meminta Salleh menamakan contoh "dua diktator yang wujud pada masa sama" di China.

Mengenai Cuba, Lim berkata dakwaan Salleh bahawa Che Guevara meninggalkan revolusi itu kerana tidak mahu menjadi diktator bersama dengan Castro akan menyebabkan kemarahan di kalangan peminat Guevara.

Guevara, menjelang akhir hayatnya, mengetuai kumpulan gerila revolusioner di Bolivia tetapi ditangkap oleh tentera Bolivia dan dihukum mati pada tahun 1967.

- malaysiakini