MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

BAM batal latihan skuad Piala Thomas, Uber di Sabah

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini membatalkan perancangan untuk mengadakan kem latihan pusat Piala Thomas dan Uber di Kota Kinabalu, Sabah berikutan masalah logistik.

Setiausahanya, Ng Chin Chai berkata sebaliknya kem persedian pasukan negara bagi menghadapi kelayakan Piala Thomas dan Uber di Macau bulan depan akan dijalankan di gelangang rasmi BAM, di Stadium Juara, Bukit Kiara.

"Tidak ada latihan dan pemain yang akan ke Sabah dan BAM menetapkan pemain akan berlatih di sini (Stadium Juara) sebelum ke Macau," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata rancangan awal seperti yang diputuskan oleh Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) untuk berlatih di Sabah terpaksa dibatalkan ekoran masalah logistik.

"Jika kita berlatih di Sabah, pemain dan pegawai terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur untuk ke Macau kerana tiada penerbangan terus ke Macau dari Sabah.

"BAM juga sudah meneliti sekiranya ini terjadi ia akan memberi masalah kepada pemain negara disebabkan kekurangan masa berehat sebelum pusingan kelayakan nanti," katanya. Sumber- Sinar Harian