MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sabah

Cabaran untuk diri sendiri: Justin

TIDAK gentar untuk melayan kunjungan pasukan The Red Warriors ke Stadium Likas Kota Kinabalu, pengendali Sabah, Justin Ganai sebaliknya menganggap perlawanan malam nanti sebagai cabaran buat dirinya.

Mengakui kehebatan pihak lawan, Justin bagaimanapaun tidak mahu terus mengaku kalah sebelum berjuang.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya. Tidak kira siapapun lawan yang bakal kami tempuh perlawanan perlu diteruskan.

“Pemain juga sudah menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadapi perlawanan esok (hari ini). Kita akan beraksi dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi perlawanan ini diadakan di laman sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Enggan meletakkan sebarang sasaran untuk perlawanan hari ini, Justin tetap bersikap realistik dan percaya anak buahnya pasti akan dapat menimba pengalaman serta mampu membandingkan corak permainan mereka dengan skuad kendalian Peter Butler itu sekiranya tewas.

Tidak dapat menurunkan Razlan Oto berikutan kecederaan patah kaki yang dialaminya, Justin bagaimanapun masih belum menentukan siapa yang bakal menggantikan pemain penyerangnya itu.

“Selain Razlan, semua pemain berada pada tahap yang baik dan saya yakin mereka mampu memberikan komitmen yang tinggi selepas berehat lebih dua minggu dari sebarang perlawanan,” katanya yang tidak mahu terus menghampakan ribuan penyokong Sabah Hawks. Sumber- Sinar Harian